Kuala Kangsar, 24 Ogos 2026 — Kerajaan Negeri Perak telah menganjurkan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak (Siri 6/2026) bertempat di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar hari ini.
Program ini memberi peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara langsung dengan Kerajaan Negeri Perak melalui penyampaian pandangan, cadangan serta aduan untuk didengar dan ditangani menerusi sesi libat urus bersama jabatan atau agensi terlibat.
Penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih mesra, responsif serta berteraskan keperluan rakyat.
Program ini dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, yang sudi meluangkan masa mendengar sendiri maklum balas serta permasalahan rakyat. Turut hadir barisan kepimpinan Negeri Perak dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri serta Persekutuan.
Hadir sama YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh bagi memperkukuh hubungan serta kerjasama antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Antara pengisian program termasuk penyediaan pelbagai perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan di samping jualan keperluan harian pada harga lebih murah termasuk Jualan Rahmah dengan pelbagai barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Program ini turut diserikan lagi dengan Majlis Pelancaran Logo Pavillion Perak Dan Road To MAHA 2026 di Perkarangan Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar.
Platform seumpama ini diharap akan terus menjadi medium yang berkesan bagi menyelesaikan isu-isu rakyat dengan lebih pantas, menyeluruh dan berimpak tinggi.