Aktiviti & Berita

PROGRAM PERAK BERSIH DAN SIHAT (PERAK BEST 3.0) 2026 PERINGKAT MAJLIS BANDARAYA IPOH "MEMERANGI HOTSPOT SAMPAH HARAM"

Ipoh, 17 Julai 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini telah melaksanakan Program Perak Bersih dan Sihat (Perak BEST 3.0) 2026 bertemakan "Memerangi Hotspot Sampah Haram" di Jalan Persiaran Tiara 51, Pengkalan Tiara, Ipoh sebagai usaha berterusan membanteras aktiviti pembuangan sampah haram serta meningkatkan tahap kebersihan, kesihatan dan kesejahteraan persekitaran bandar raya.

Program ini merupakan antara inisiatif di bawah Local Agenda 21 (LA21) yang memberi penekanan kepada pengurusan alam sekitar secara mampan ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Pembasmian sampah haram dan pemeliharaan kebersihan persekitaran merupakan antara agenda utama Perak BEST 3.0 yang diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih bertanggungjawab dalam merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebuah bandar raya yang bersih, selamat dan sejahtera.

YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh turut hadir memeriahkan program serta menyempurnakan penyampaian Sijil Penghargaan Cemerlang kepada anggota lapangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melaksanakan tugas menjaga kebersihan bandar raya. Pengiktirafan ini mencerminkan penghargaan MBI terhadap komitmen, dedikasi dan mutu perkhidmatan warga kerja yang menjadi tulang belakang dalam memastikan persekitaran bandar raya sentiasa bersih, indah dan terurus.

Pelaksanaan program pada hari ini melibatkan pelbagai aktiviti termasuk pembersihan kawasan hotspot sampah haram, pemasangan papan tanda kesedaran "Perangi Sampah Haram", kerja-kerja penyapuan jalan, pengedaran risalah "Dilarang Membuang Sampah", pemeriksaan jentik-jentik (Aedes Survey), aktiviti fogging serta pelbagai aktiviti kebersihan awam yang lain.

Majlis Bandaraya Ipoh sentiasa komited dalam usaha menutup dan mengurangkan lokasi hotspot sampah haram di seluruh kawasan pentadbirannya. Sehingga Jun 2026, sebanyak 148 lokasi hotspot sampah haram telah dikenal pasti di sekitar kawasan pentadbiran MBI. Pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan bagi menangani isu tersebut, termasuk pemasangan 431 unit papan tanda amaran di lokasi-lokasi strategik bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

Bagi memperkukuh penguatkuasaan, MBI telah mengeluarkan sebanyak 711 tawaran kompaun bagi kesalahan pembuangan sampah haram sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2026, melibatkan jumlah denda keseluruhan sebanyak RM184,750. Khusus di kawasan Jalan Persiaran Tiara 51, sebanyak dua (2) tawaran kompaun telah dikeluarkan dengan nilai keseluruhan RM500.

Selain itu, MBI turut meneruskan Program Pengedaran Tong Sampah Percuma kepada penduduk bandar raya Ipoh. Sehingga Julai 2026, sebanyak 156,291 unit tong sampah telah diedarkan secara berperingkat pada setiap hujung minggu mengikut giliran Zon Ahli Majlis sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2021.

Pada edisi Perak BEST 3.0 tahun 2026, MBI turut memberikan penghargaan kepada anggota lapangan yang menunjukkan prestasi cemerlang sebagai tanda pengiktirafan terhadap komitmen dan mutu perkhidmatan mereka. Seramai 30 orang anggota lapangan telah menerima penghargaan bagi prestasi bulan Mac, April dan Mei 2026.

Pemberian ganjaran ini bertujuan meningkatkan motivasi anggota lapangan yang merupakan tulang belakang dalam memastikan persekitaran bandar raya sentiasa bersih dan terurus. Setiap penerima menerima Sijil Penghargaan Cemerlang berserta ganjaran wang tunai RM100 yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing.

Bagi bulan Mac 2026, penerima anugerah ialah Moghan A/L Muniandy dan Rolaini Abdul Latib (Unit Kawalan Vektor), Nur Nadiah Zamri dan John Anthony A/L Anthonysamy (Zon Pasir Pinji), Mohammed Nazirul Mubin Muhammed Najib dan Kannamah A/P Kuppusamy (Zon Housing Trust), Mohd Nizam Rahim dan Sazali Zainudin (Zon Gunung Rapat), serta Azman Abu Bakar dan Sugumaran A/L Silvaretinam (Unit Sisa Pepejal).

Bagi bulan April 2026, penerimanya ialah Neisa Mani A/L Perian (Zon Cherry), Sahayanathan A/L Sinnathamby (Zon Buntong), Mahani Mohd Yusoff dan Mohammad Azraie Meor Amiruddin (Zon Happy Garden), Jafri Muhamad dan Mohd Parok Mohamed Juoi (Zon Simpang Pulai), Narazian Ahmad dan Murugeswaran A/L Suppiah (Zon Lahat), serta Mohd Shukor Mokhtar dan Mohamad Yusof Muhamed Ariffin (Unit Task Force).

Bagi bulan Mei 2026, penerima terdiri daripada I. M. Subramaniam A/L Subramaniam dan Mohd Idrus Saad (Unit Kawalan Vektor), Muniandy A/L Saminathan dan Mohd Rezza Abdul Razak (Zon Canning), Vijaya Letchimy A/P Ramasamy dan Anwar Din Elam Din (Zon Pekan Baru), Desa Yahaya dan Chandramohan A/L Nathadamani (Unit Task Force), serta Sharul Farrid Idris dan Jayaprakash A/L Raguraman (Zon Menglembu).

Majlis Bandaraya Ipoh akan terus mempergiat pelbagai inisiatif dan tindakan penguatkuasaan bagi merealisasikan aspirasi menjadikan Ipoh sebuah bandar raya yang bersih, hijau, selamat dan pintar selaras dengan agenda Ipoh Bestari Sejahtera serta Perak Sejahtera 2030.

Sehubungan itu, MBI menyeru seluruh masyarakat agar bersama-sama memainkan peranan dalam memerangi aktiviti pembuangan sampah haram. Orang ramai disaran menguruskan sisa pepejal dengan betul, menyediakan tong sampah yang bersesuaian mengikut jenis premis dan kapasiti, serta menjadikan kebersihan sebagai budaya dan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan dan kelestarian bandar raya Ipoh.

747799416 1424666829685833 9040357310011753316 N
748330943 1424666896352493 5556580177965508946 N
748452624 1424666953019154 633707000471172650 N
748527596 1424666789685837 6492297791011948554 N
748533988 1424665426352640 8690178257529307549 N
748567768 1424666849685831 9180021262765884000 N
748573440 1424666929685823 5957532813645360029 N
748597809 1424665536352629 8717471707229231987 N
748745947 1424665553019294 5404485753151767901 N
748907782 1424665466352636 234959814208148995 N
748948422 1424666763019173 8223710933320244476 N
749022746 1424666889685827 6845769700720647306 N
749041931 1424665499685966 5055584895645739988 N
749161590 1424666936352489 4323759835346286743 N
749197941 1424666749685841 5185805080195991813 N
749239606 1424666816352501 8437916636123026022 N
749269001 1424665509685965 5794919140456500504 N
749270063 1424666779685838 6150816351487052088 N
749300922 1424666839685832 6899753199534115403 N
749330379 1424665443019305 5261958895937726727 N
749355105 1424665529685963 8847736561120482121 N
749440689 1424665479685968 4300100300374918516 N
750439444 1424665559685960 1827516091873575373 N
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 22/07/2026.
  • Jumlah Pelawat 6946014