Ipoh, 25 September 2026 – Majlis Penyerahan Pelajar Medan kepada Keluarga Angkat telah berlangsung di Dewan Azlan Shah, Ipoh, petang ini sebagai salah satu pengisian utama Program Pertukaran Pelajar Medan–Ipoh yang bertujuan memperkukuh hubungan persahabatan, persefahaman budaya dan jalinan antara masyarakat kedua-dua bandar.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, dengan melibatkan 10 orang pelajar dari Medan, Indonesia yang ditempatkan bersama keluarga angkat sepanjang tempoh program di Ipoh.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar Ipoh mengalu-alukan kehadiran para pelajar serta pegawai pengiring dari Medan dan berharap pengalaman berada bersama keluarga angkat di Ipoh akan memberikan pendedahan yang lebih dekat terhadap kehidupan, budaya, adat resam dan nilai kekeluargaan masyarakat tempatan.
Menurut beliau, konsep keluarga angkat bukan sekadar menyediakan tempat tinggal kepada para pelajar, sebaliknya membuka ruang kepada interaksi secara langsung melalui aktiviti harian seperti makan bersama, berkomunikasi, mengenali budaya setempat serta berkongsi pengalaman kehidupan sesebuah keluarga.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga angkat yang sudi menerima para pelajar dari Medan dengan hati terbuka serta berkongsi masa, pengalaman dan kasih sayang sepanjang tempoh mereka berada di Ipoh.
Para pelajar juga digalakkan berkongsi budaya, makanan, bahasa, adat dan keunikan Medan bersama keluarga angkat masing-masing, sekali gus menjadikan program tersebut sebagai platform pertukaran budaya dua hala yang lebih bermakna.
Datuk Bandar Ipoh berkata, hubungan yang kukuh antara bandar dan negara bukan sahaja dibina melalui urusan rasmi, sebaliknya turut berkembang melalui hubungan sesama manusia.
“Daripada satu perkenalan lahir persahabatan, daripada persahabatan lahir persefahaman, dan daripada persefahaman inilah terbina hubungan yang mampu bertahan dalam jangka masa panjang.”
Program pertukaran pelajar ini turut mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia yang berkongsi persamaan dari aspek sejarah, budaya, bahasa serta nilai kekeluargaan. Generasi muda dilihat memainkan peranan penting dalam meneruskan hubungan tersebut dalam bentuk yang lebih dekat, segar dan bermakna.
MBI berharap para pelajar dari Medan dapat membawa pulang pengalaman dan kenangan indah mengenai Ipoh, termasuk keramahan masyarakat, keunikan makanan, budaya dan warisan bandar raya ini, seterusnya menjadi duta persahabatan antara Medan dan Ipoh.
Program seperti ini diharapkan dapat terus diperkasakan pada masa hadapan sebagai salah satu platform penting dalam mengeratkan hubungan antara generasi muda, masyarakat serta kedua-dua bandar.