Ipoh, 28 Julai 2026 – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Canning merangkap Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Jenny Choy Tsi Jen telah turun padang (TURPA) ke Taman Cempaka, Ipoh hari ini bagi meninjau isu aduan yang telah dibangkitkan oleh penduduk setempat berkaitan insiden bumbung serta batuan rumah yang runtuh secara tiba-tiba pada beberapa unit rumah di Persiaran Cempaka Sari 28, Taman Cempaka, Ipoh yang disyaki terdapat pergerakan bawah tanah.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah YBhg. Clr. Lee Tze Hoo, Ahli Majlis MBI Zon Taman Cempaka, Tuan Hamlee Bin Ismail, Timbalan Pengarah Jabatan Mineral Dan Geosains Negeri Perak, Ts. Muhammad Syahril Bin Sapiran, Pengarah Kawalan Pembangunan Bandaraya MBI, Pegawai- Pegawai Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Mineral Dan Geosains Negeri Perak serta wakil-wakil penduduk.
Hasil pemantauan fizikal dan siasatan di lapangan mendapati tiada pergerakan tanah seperti yang dilaporkan tetapi terdapat kemungkinan sewaktu membuat kerja-kerja ubahsuai bumbung di salah sebuah rumah penduduk yang menyebabkan berlakunya perubahan struktur asal di beberapa unit rumah di kawasan ini.
Sehubungan dengan itu, tindakan awal pihak Majlis dimana Jabatan Kawalan Pembangunan MBI akan mengeluarkan notis di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan permit bagi membenarkan kerja baikpulih rumah di kawasan yang terjejas untuk melakukan kerja-kerja ubahsuai dengan memasang topang penyangga dan dinding pemisah pada setiap rumah yang terlibat bagi mengelakkan kejadian yang lebih teruk berlaku lagi.
Lawatan TURPA ini turut mencerminkan iltizam MBI dalam memastikan setiap aduan masyarakat diberi perhatian sewajarnya, di samping menyokong pembangunan bandaraya Ipoh yang sejahtera, selamat dan lestari.
MBI berharap agar setiap isu yang dibangkitkan dapat ditangani secara berperingkat melalui kerjasama erat semua pihak berkepentingan demi kesejahteraan dan keharmonian komuniti setempat.