Ipoh, 20 Jun 2025 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh telah turun padang pagi ini ke kawasan Taman Maju rapat, Ipoh dimana penduduk di kawasan itu sering mengalami masalah banjir.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah YBhg. Clr. Tn. Haji Azmy bin Mohamed Nazir, YBhg. Clr. En. Muhammad Hamzah bin Dato’ Haji Md Hamdan, dan YBhg. Clr. En. Mohamed Helmi bin Mohamed Fuzi, Ahli Majlis, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Encik A’zman bin Mohd Harun, Pengarah Kanan (Teknikal) serta Ketua-ketua Jabatan Majlis Bandaraya Ipoh.
Siasatan mendapati permukaan longkang diselaputi pasir, tumbuhan kecil dan sampah sarap yang menyebabkan air bertakung. Selain itu, hasil tinjauan juga mendapati terdapat halangan konkrit di dalam longkang.
Lawatan turun padang ini menunjukkan komitmen Datuk Bandar Ipoh dan pihak Majlis dalam memahami realiti di peringkat komuniti serta berusaha mencari penyelesaian terbaik secara holistik. Diharapkan isu ini dapat ditangani secara berperingkat demi menjamin kesejahteraan penduduk dan menyokong pembangunan bandar yang lebih lestari dan seimbang.