Ipoh, 23 September 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus mengharumkan nama bandar raya ini apabila projek inovasi SPLiT (Sistem Pengurusan Lalulintas Pintar) sekali lagi disenarai pendek ke peringkat akhir penjurian bagi penganugerahan Johor Smart City Award 2025, Kategori Terbuka (Sektor Kerajaan) sempena Johor Smart City Forum 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Johor (PLANMalaysia Johor).
Dalam penjurian tersebut, MBI berjaya meraih tempat kedua daripada 17 penyertaan yang mengambil bahagian. Majlis penyampaian hadiah telah berlangsung sempena “Town Planning and Smart City Appreciation Night” yang diadakan di Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor.
MBI diwakili oleh dua jurutera daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, iaitu Encik Ridzauddin Mohd Radzi dan Encik Izdihar Niszar Syafiq Bin Sarlan, yang turut hadir bagi sesi pembentangan projek serta menerima anugerah berkenaan.
Pencapaian ini membuktikan komitmen MBI dalam mengangkat agenda bandar pintar melalui inovasi yang mampu meningkatkan keberkesanan pengurusan lalu lintas di Ipoh. Harapan MBI agar projek SPLiT dapat dikembangkan serta direplikasikan ke lokasi lain demi kemajuan bandar raya dan kesejahteraan masyarakat.