Ipoh, 20 November 2025 – Program Quick Game 4.0 Ultra Mode anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah berlangsung dengan penuh meriah dan mendapat sambutan menggalakkan pada hari ini.
Sebanyak 21 pasukan mengambil bahagian dalam edisi kali ini, melibatkan penyertaan daripada pelbagai jabatan dalaman MBI serta pasukan dari luar yang turut sama memeriahkan pertandingan.
Program yang dikendalikan oleh Perpustakaan Tun Razak, Jabatan Perkhidmatan Komuniti dan Kemasyarakatan ini menampilkan lapan (8) permainan utama yang direka khusus untuk menguji ketangkasan, strategi, kreativiti dan semangat kerjasama antara peserta.
Sepanjang penganjuran, suasana pertandingan berlangsung dalam suasana ceria dan penuh semangat kompetitif, disertai nilai kesukanan yang tinggi. Program ini turut menjadi platform yang efektif dalam mengukuhkan hubungan antara jabatan, meningkatkan kemahiran komunikasi serta merapatkan interaksi bersama komuniti luar.
Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Mazlan bin Abd. Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Penganjuran Quick Game 4.0 Ultra Mode membuktikan komitmen berterusan Majlis Bandaraya Ipoh dalam menyediakan aktiviti bermanfaat yang menyokong pembangunan sahsiah, semangat berpasukan serta kesejahteraan mental dan fizikal warga kerja.
Majlis Bandaraya Ipoh merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pasukan yang bertanding dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh urus setia serta petugas yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran dan kejayaan program ini.