Ipoh, 24 September 2026 – Perpustakaan Tun Razak, di bawah Bahagian Perkhidmatan Komuniti dan Kemasyarakatan, Majlis Bandaraya Ipoh, telah menganjurkan Quick Game 5.0 Warrior Battle yang berlangsung meriah dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang.
Program ini disertai oleh 21 pasukan yang melibatkan seramai 105 peserta, terdiri daripada warga Majlis Bandaraya Ipoh serta peserta luar. Sebanyak 7 permainan utama telah dipertandingkan, merangkumi cabaran yang menguji ketangkasan, strategi, kreativiti, kecerdasan dan semangat kerjasama berpasukan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta persaingan sihat dalam menyelesaikan setiap cabaran yang disediakan. Selain menceriakan suasana, program ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan, memperkukuh kemahiran komunikasi dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan peserta.
Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Mazlan bin Abdul Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh, yang menyempurnakan perasmian program, serta YBhg. Dato’ Abdul Rahim bin Md Ariff, Presiden Persatuan Pesara MBI (PERMAI).
Dalam pertandingan tersebut, kumpulan D’Engine muncul sebagai Johan, manakala kumpulan Ucuk Ancam meraih Naib Johan. Kumpulan Belasah Je menduduki Tempat Ketiga, diikuti kumpulan Geng Tak Goyah di Tempat Keempat dan kumpulan Charlie di Tempat Kelima.
Majlis Bandaraya Ipoh merakamkan ucapan tahniah kepada semua pasukan yang bertanding serta penghargaan dan terima kasih kepada semua urusetia, petugas dan pihak yang terlibat dalam menjayakan Quick Game 5.0 Warrior Battle.
Semoga program seperti ini dapat diteruskan sebagai wadah untuk memperkukuh semangat berpasukan, mengeratkan hubungan silaturahim serta mewujudkan suasana kerja yang lebih positif dan dinamik dalam kalangan warga MBI dan komuniti.