ROCK SELAMANYA GEGARKAN DEWAN BANDARAN IPOH, HIDUPKAN NOSTALGIA MUZIK ROCK
Ipoh, 26 September 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus menyemarakkan landskap seni, budaya dan hiburan bandar raya menerusi penganjuran Rock Selamanya yang berlangsung di Dewan Bandaran Ipoh, malam ini.
Program berkenaan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Mazlan bin Abd Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI; Tuan A’zman bin Mohd Harun, Setiausaha Bandaraya; Ahli-Ahli Majlis serta Ketua-Ketua Jabatan MBI.
Program yang berlangsung dari pukul 8.30 malam hingga 11.00 malam itu menampilkan persembahan daripada Kumpulan Gema Warisan Budaya (GWB) MBI, Abu & Frenz, Teja serta Riyard, sekali gus menghidupkan suasana dengan rangkaian persembahan muzik rock yang penuh bertenaga dan nostalgia.
Penganjuran Rock Selamanya memberi peluang kepada masyarakat, khususnya peminat muzik rock, untuk menikmati persembahan secara langsung dalam suasana santai, meriah dan menghiburkan. Program yang dibuka secara percuma kepada orang ramai itu turut menjadi wadah menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang menerusi minat serta kecintaan terhadap seni dan muzik.
Selain menyediakan hiburan berkualiti kepada warga bandar raya, program ini mencerminkan komitmen berterusan MBI dalam memperbanyakkan aktiviti seni, kebudayaan dan hiburan yang mampu menghidupkan suasana bandar serta memperkukuh daya tarikan Ipoh sebagai destinasi pelancongan yang dinamik, kreatif dan memiliki identiti tersendiri.
Pemilihan Dewan Bandaran Ipoh, yang merupakan antara bangunan ikonik dan bersejarah di bandar raya ini, sebagai lokasi penganjuran turut memberi nilai tambah kepada program berkenaan dengan menggabungkan elemen warisan, seni dan muzik dalam satu acara yang dapat dinikmati bersama oleh masyarakat.
Penganjuran program seumpama ini juga selari dengan usaha memperkukuh kedudukan Ipoh sebagai UNESCO Creative City of Music, selain menyediakan ruang dan platform kepada penggiat seni serta pemuzik untuk terus berkarya, mengetengahkan bakat dan mendekatkan seni muzik kepada masyarakat.
Pada masa sama, program seperti Rock Selamanya berpotensi menyumbang kepada kemeriahan aktiviti malam di pusat bandar, meningkatkan kunjungan orang ramai serta memberi limpahan positif kepada sektor pelancongan, perniagaan dan ekonomi setempat.
MBI berharap penganjuran Rock Selamanya dapat terus menjadi salah satu wadah yang memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat, di samping menyemarakkan ekosistem seni, budaya dan hiburan di bandar raya Ipoh.