Ipoh, 30 Ogos 2026 – Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru menjadi tumpuan orang ramai malam ini sempena Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 yang berlangsung dalam suasana meriah, penuh semangat patriotik serta mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Program berkenaan menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan dan latar belakang untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, sekali gus menzahirkan semangat cintakan negara, memperkukuh perpaduan serta menyuburkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Sambutan tersebut telah dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak.
Turut hadir ialah YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, sebagai tanda sokongan dan komitmen Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terhadap penganjuran program berskala negeri yang berupaya menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh keharmonian masyarakat serta merancakkan aktiviti pelancongan di bandar raya Ipoh.
Pelbagai persembahan kebudayaan dan kesenian disajikan sepanjang program, antaranya tarian dabus, persembahan pembukaan, tarian India, tarian Cina, persembahan kebudayaan Orang Asal, persembahan artis jemputan, tarian gabungan Kurik Kundi, persembahan Kumpulan Kesenian Komando serta persembahan khas “Visit Malaysia Year 2026–2027”.
Kepelbagaian persembahan tersebut mencerminkan keunikan dan kekayaan warisan masyarakat majmuk di negara ini, di samping menjadi wadah untuk mengetengahkan seni, budaya dan identiti Malaysia kepada masyarakat serta para pengunjung.
YAB Menteri Besar Perak turut menyampaikan ucapan sempena sambutan berkenaan sebelum menyempurnakan gimik perasmian video promosi “Promising Perak 2026”, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk mempromosikan Perak sebagai destinasi pelancongan pilihan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, warisan, budaya serta pelbagai produk pelancongan menarik.
Kemuncak sambutan pada jam 11.59 malam menyaksikan pengiraan detik ambang merdeka yang disusuli dengan pertunjukan bunga api, sekali gus menyemarakkan lagi suasana sambutan di sekitar Bulatan Sultan Azlan Shah.
Sambutan kemudiannya diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang, yang membangkitkan semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap tanah air dalam kalangan para hadirin.
Penganjuran Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Perak 2026 bukan sahaja menjadi medium untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara, malah turut memperkukuh nilai perpaduan, toleransi, keharmonian serta semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kekuatan masyarakat Malaysia.
Sambutan seumpama ini diharap akan terus menjadi platform yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai kaum dan latar belakang, selain memperkukuh imej Ipoh sebagai sebuah bandar raya yang dinamik, inklusif, berdaya huni dan mesra pelancong.
Semangat kemerdekaan yang diraikan ini diharapkan terus menyemai rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan warga kota untuk memelihara keamanan, keharmonian dan kesejahteraan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan Bandar Raya Ipoh, Negeri Perak dan negara secara keseluruhannya.