Ipoh, 11 Februari 2026 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh hari ini telah merasmikan Seminar “Technology Update: Future Digital Ready Enterprise: Data Centre, Cloud & Network 2026” yang berlangsung di Casuarina Convention Centre, Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.
Seminar yang pertama dianjurkan pada tahun ini merupakan inisiatif Persatuan Teknologi Maklumat Negeri Perak (PTeM) dengan kerjasama strategik pelbagai agensi serta sokongan industri, bagi meningkatkan kefahaman dan pendedahan peserta terhadap perkembangan teknologi semasa khususnya dalam bidang pusat data (data centre), perkomputeran awan (cloud) dan rangkaian (network) ke arah memperkukuh kesiapsiagaan digital organisasi.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar Ipoh merakamkan penghargaan dan tahniah kepada PTeM yang menggabungkan penjawat awam Perkhidmatan Sistem Maklumat (Skim F) daripada pelbagai peringkat serta agensi di Negeri Perak, termasuk Persekutuan, Negeri, Badan Berkanun dan Universiti Awam. Beliau turut menyambut baik usaha PTeM yang konsisten menganjurkan pelbagai program pembangunan kompetensi teknologi sejak penubuhannya.
Datuk Bandar turut menegaskan bahawa gelombang pendigitalan global yang pesat, termasuk kemunculan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan Analitik Data Raya (Big Data Analytics) telah mengubah corak ekonomi dan gaya hidup masyarakat, selain memberi impak besar terhadap cara bekerja serta penyampaian perkhidmatan, khususnya selepas pandemik COVID-19.
Seiring hasrat Malaysia Madani dan aspirasi membangunkan Kerajaan Digital, beliau berharap lebih banyak program seumpama ini dapat dilaksanakan bagi memperkasa penjawat awam serta organisasi dalam mengadaptasi teknologi ICT dalam pelbagai sektor, termasuk pembangunan infrastruktur negara dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau turut menyentuh kepentingan keselamatan siber dalam era digital yang semakin mencabar, termasuk ancaman seperti phishing, malware dan ransomware, serta menyeru semua pihak agar sentiasa berwaspada dalam melindungi kerahsiaan, ketersediaan dan integriti aset ICT kerajaan.
Antara pengisian utama seminar termasuk sesi pembentangan oleh pemain industri ICT, perkongsian teknologi terkini, serta pameran. Program ini juga memberi ruang kepada peserta untuk meneliti tren pasaran ICT, cabaran pelaksanaan, aspek keselamatan siber serta aplikasi teknologi dalam pelbagai sektor industri.
Majlis Bandaraya Ipoh menyambut baik penganjuran seminar ini kerana ia selaras dengan usaha transformasi digital MBI ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan berimpak kepada warga bandar raya.