Ipoh, 15 Julai 2026 - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini telah mengadakan Sesi Dialog Bajet Bersama Pengurusan Tertinggi dan Ahli Majlis bagi membincangkan Cadangan Bajet MBI Tahun 2027, bertempat di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10, Bangunan MBI.
Sesi tersebut telah dipengerusikan oleh Tuan A’zman bin Mohd Harun, Setiausaha Bandaraya, mewakili YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.
Taklimat berkaitan cadangan Bajet MBI Tahun 2027 telah disampaikan oleh Encik Mohd Syazlan bin Mohd Isa Suffian, Pengarah Perbendaharaan MBI.
Turut hadir ialah barisan Ahli Majlis MBI, ketua-ketua jabatan dan unit serta pegawai-pegawai berkaitan.
Dalam ucapan aluannya, Tuan A’zman merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Majlis atas komitmen, pandangan dan kerjasama berterusan dalam memastikan setiap perancangan serta keputusan MBI memenuhi keperluan rakyat, di samping menyokong pembangunan bandar raya secara mampan.
Menurut beliau, sesi dialog tersebut merupakan platform penting untuk mendapatkan pandangan, cadangan dan maklum balas daripada Ahli Majlis terhadap cadangan bajet yang telah disediakan sebelum dimuktamadkan.
“Penyediaan bajet bukan sekadar proses mengagihkan peruntukan kewangan, malah merupakan instrumen strategik bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan impak maksimum terhadap kesejahteraan masyarakat, penyampaian perkhidmatan yang berkualiti serta pembangunan bandar raya yang lebih progresif,” katanya.
Beliau berkata, dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan kos operasi serta ekspektasi masyarakat yang semakin tinggi, penyediaan Bajet MBI Tahun 2027 perlu dilaksanakan secara berhemah, realistik dan berorientasikan hasil.
Sehubungan itu, setiap cadangan perbelanjaan perlu mengambil kira keutamaan organisasi, kemampuan kewangan Majlis serta nilai dan manfaat terbaik yang dapat disalurkan kepada masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara Ahli Majlis dengan pihak pengurusan amat penting bagi memastikan bajet yang dirangka benar-benar berasaskan keperluan semasa, prestasi perkhidmatan, unjuran hasil, komitmen perbelanjaan serta perancangan pembangunan bandar raya.
Bajet MBI Tahun 2027 yang dirangka diharapkan bukan sahaja dapat memenuhi aspirasi masyarakat, malah mampu dilaksanakan secara telus, berhemah dan berimpak tinggi terhadap pembangunan bandar raya serta kesejahteraan seluruh warga kota Ipoh.
Tuan A’zman turut berharap agar sesi dialog tersebut berlangsung dalam suasana terbuka, konstruktif dan profesional, dengan setiap pandangan serta idea daripada Ahli Majlis dijadikan input penting dalam memperkukuh cadangan Bajet MBI Tahun 2027.
Cadangan Bajet MBI Tahun 2027 kemudiannya dibentangkan oleh Pengarah Perbendaharaan MBI untuk penelitian, perbincangan dan pertimbangan bersama.
Penganjuran sesi dialog ini mencerminkan komitmen MBI dalam memastikan pengurusan kewangan dilaksanakan secara cekap, telus dan bertanggungjawab, sejajar dengan usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, memperkukuh pembangunan bandar serta mewujudkan kesejahteraan dan kemakmuran kepada seluruh warga bandar raya Ipoh.