Ipoh, 1 April 2026 - Majlis Bandaraya Ipoh telah mengadakan sessi Libat Urus Penguatkuasaan Gerai Tanpa Lesen dan Penempatan Semula Penjaja di sekitar Taman Temara, Ipoh.
Sessi ini dipengerusikan oleh Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya dan turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis MBI, wakil Parlimen Ipoh Timor, wakil ADUN Tebing Tinggi, ketua-ketua/wakil jabatan MBI serta para peniaga dan penduduk setempat bagi membincangkan isu penguatkuasaan gerai tanpa lesen serta pelaksanaan penempatan semula penjaja di sekitar kawasan Taman Temara.
Program ini menjadi platform penting bagi semua pihak untuk berkongsi pandangan, mendapatkan maklumat yang jelas serta mencapai persefahaman bersama dalam menangani isu penjaja tanpa lesen.
Dalam ucapan pembukaan, Tuan Ahmad Munir menegaskan bahawa aktiviti perniagaan kecil memainkan peranan penting sebagai sumber pendapatan utama kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.
Namun begitu, aspek kesejahteraan penduduk, kebersihan persekitaran, keselamatan awam serta pematuhan kepada peraturan sedia ada perlu diberi keutamaan.
Sehubungan itu, pelaksanaan penguatkuasaan dan penempatan semula penjaja tanpa lesen akan dilaksanakan secara terancang dan berhemah dengan mengambil kira keperluan semua pihak.
Pendekatan ini juga bertujuan memastikan pengurusan ruang bandar yang lebih sistematik, selamat dan kondusif kepada peniaga serta pengguna.
Sepanjang sesi berlangsung, tiga jabatan utama iaitu Jabatan Kesihatan Awam & Perkhidmatan Perbandaran, Jabatan Kawalan Pembangunan dan Jabatan Kerja Awam telah memberikan penerangan berkaitan peranan masing-masing dalam pelaksanaan penguatkuasaan dan penempatan semula tersebut.
Pihak MBI turut menegaskan komitmen untuk melaksanakan proses ini secara adil, telus dan inklusif dengan mengambil kira pandangan serta kebajikan para peniaga dan penduduk setempat.
Sesi libat urus ini diharap dapat menjadi asas kepada penyelesaian terbaik yang memberi manfaat bersama.
MBI juga menyeru semua pihak agar terus memberikan kerjasama dan sokongan dalam memastikan usaha penguatkuasaan dan penempatan semula penjaja ini dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan komuniti dan pembangunan bandar raya Ipoh yang mampan.