Ipoh, 24 Ogos 2026-Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengadakan Sesi Libat Urus dan Taklimat Pelaksanaan Fasa 1A dan Fasa 1B Projek Menaiktaraf Pasar Besar Ipoh bersama para peniaga serta pihak-pihak berkepentingan bagi memberi penerangan terperinci mengenai pelaksanaan kerja yang akan dijalankan.
Sesi ini dipengerusikan oleh Pengarah Kerja Awam MBI, Ir. Ts. Haji Arif bin Mohd Zainudin, bersama Ahli Majlis Kawasan Kepayang, Clr. En. Wong Kar Keat, Jurutera Kanan Projek, Ir. Ts. Hajah Nur Aifa Farihah binti Mad Nor, Perunding Utama, Beu Tan Architect serta Kontraktor Utama, Seri Bumi Makmur Sdn. Bhd.
Sesi libat urus ini bertujuan memberi penerangan kepada para peniaga mengenai pelaksanaan Fasa 1A dan Fasa 1B, termasuk kawasan yang terlibat, reka bentuk dan kedudukan gerai baharu, kaedah pelaksanaan kerja, kerja-kerja make good di bahagian dalaman dan luaran gerai, penempatan gerai sementara serta perancangan pemindahan sepanjang tempoh pembinaan.
Pelaksanaan projek akan dibuat secara berfasa bagi memastikan operasi Pasar Besar Ipoh dapat diteruskan dan gangguan terhadap aktiviti perniagaan para peniaga dapat diminimumkan.
Sesi ini turut menjadi platform dua hala bagi MBI mendapatkan maklum balas, mengenal pasti isu serta mendengar pandangan dan keperluan para peniaga sebelum pelaksanaan kerja di setiap zon dimulakan. Kerjasama para peniaga dalam memberi laluan kepada kontraktor, khususnya semasa proses pemindahan dan penyerahan kawasan kerja, amat penting bagi memastikan jadual projek dapat dilaksanakan dengan lancar.
Projek menaik taraf ini merangkumi penambahbaikan kemudahan dan persekitaran Pasar Besar Ipoh, termasuk aspek pencahayaan, aksesibiliti, kemudahan sokongan, medan selera, dataran, fasad bangunan serta gerai-gerai perniagaan, bagi mewujudkan suasana yang lebih selesa dan kondusif kepada peniaga serta pengunjung.
MBI amat menghargai kerjasama, komitmen dan persefahaman semua pihak dalam menjayakan projek ini demi merealisasikan Pasar Besar Ipoh yang lebih bersih, selesa, selamat, moden dan menarik, di samping mengekalkan identitinya sebagai antara pusat kegiatan ekonomi dan mercu tanda penting Bandar Raya Ipoh.
Bersama-sama kita menjayakan transformasi Pasar Besar Ipoh demi manfaat peniaga, masyarakat Ipoh dan generasi akan datang.