Ipoh, 17 November 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencipta sejarah membanggakan apabila Kumpulan ValueX dari Jabatan Penilaian dan Percukaian dengan inovasi D.Milik.i (Sistem Pindahmilik Pegangan Berkadar) meraih tempat ketiga bagi Kategori Pihak Berkuasa Tempatan sempena Majlis Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
D.Milik.i ialah sistem digital bagi permohonan pindah milik harta di bawah Seksyen 160 Akta 171. Sistem ini memudahkan orang awam dengan membolehkan semua urusan pindah milik, menyemak maklumat, memuat naik dokumen, dan membuat pembayaran dilaksanakan secara serentak, sekali gus menjadikan proses lebih cepat dan efisien.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YB Tuan Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, kepada YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.
Dengan kejayaan ini, MBI menerima wang tunai RM5,000, sijil beserta piala iringan sebagai pengiktirafan atas hasil inovasi yang dihasilkan dan dipertandingkan.
Datuk Bandar Ipoh merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh warga kerja MBI yang terlibat di atas komitmen tinggi dan usaha berterusan sehingga melakar kejayaan bermakna ini. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Penilaian dan Percukaian serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama, dedikasi dan sumbangan sehingga membuahkan hasil yang amat membanggakan.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk memperkasa lagi budaya inovasi dalam merealisasikan aspirasi Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera 2030.