Ipoh, 29 September 2025 – Satu taklimat mengenai Kecerdasan Buatan (AI) dengan penekanan kepada ProSocial AI telah dianjurkan melalui kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sunway Centre for Planetary Health (SCPH), Sunway University. Program ini memberi tumpuan kepada peranan teknologi dalam menyokong pelaksanaan konsep Ekonomi Donat di Bandaraya Ipoh, selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Penerangan ringkas program pagi tersebut telah disampaikan oleh TPr Dr. Zulqarnain Mohamad, Ketua Sekretariat Ipoh Bandar Ekonomi Donat MBI.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Professor Adjunct Dr. Cornelia C. Walther, Fellow Sunway University dan Visiting Scholar University of Pennsylvania. Beliau menerangkan bagaimana ProSocial AI mampu memastikan penggunaan teknologi dilakukan untuk kebaikan masyarakat, dengan mengambil kira kesejahteraan insan, kemajuan ekonomi serta kelestarian alam sekitar. Dr. Cornelia turut menegaskan bahawa pendekatan ini selari dengan konsep Islam dan falsafah ekonomi donat yang menitikberatkan keseimbangan hidup secara holistik.
Antara konsep integral dalam kerangka ProSocial AI adalah Konsep 4T iaitu Tailored (menghormati kepelbagaian budaya dan kehendak masyarakat), Trained (penggunaan privasi data yang bertanggungjawab), Tested (penilaian yang rigorous terhadap kesan alam sekitar dan masyarakat yang tidak dijangka) dan Targeted (fokus khas memperkasa ikatan sosial dan kemampanan).
Dr. Cornelia, seorang pakar terkemuka dunia dalam bidang ProSocial AI, berasal dari Jerman dan memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang undang-undang dari Aux en-Provence Université, Marseilles, Perancis. Selain bersama Wharton School, University of Pennsylvania, Dr. Cornelia juga merupakan senior Fellow di Harvard University dan memegang pelbagai jawatan akademia di Amerika Syarikat. Beliau juga berpengalaman luas dengan pelbagai agensi Bangsa-Bangsa Bersatu dan antarabangsa seperti UNICEF, WFP, UNFPA serta beberapa organisasi global lain. Beliau merupakan penulis yang prolifik dan banyak menulis artikel jurnal dan buku selain menulis secara kerap untuk majalah Forbes Magazine.
Dalam ucapan perasmian, Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI yang mewakili YBhg Datuk Bandar Ipoh, merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk SCPH sebagai rakan ilmu, Institut Darul Ridzuan (IDR) sebagai wakil kerajaan negeri, serta MBI sebagai pelaksana utama aspirasi Ipoh Bandar Ekonomi Donat. Beliau menekankan kepentingan teknologi seperti AI dalam mempergiatkan pelaksanaan dasar dan inisiatif, namun menegaskan penggunaan teknologi mestilah dilakukan secara berhemah, bertanggungjawab, dan beretika. Beliau juga mengucapkan selamat datang ke Ipoh dan Malaysia serta setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Cornelia Walther yang baru berada bersama Sunway University selaku Fellow di universiti tersebut.
Ia turut dihadiri oleh Ahli Majlis, Ketua jabatan serta pegawai majlis. Wakil-wakil NGO juga turut hadir, antaranya Prof Richard Ng (Lions Club), Tuan Haji Tajuddin Tahir (Perak Heritage Society), serta dimeriahkan dengan ramai wakil dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE). Penyertaan wakil agensi kerajaan termasuk PlanMalaysia, IDR dan PKNP turut menyerikan lagi majlis tersebut.
Majlis ini menjadi platform penting bagi menyatukan kepakaran akademia, pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, NGO dan agensi kerajaan dalam merealisasikan impian menjadikan Ipoh sebagai bandar yang progresif, sejahtera dan mampan berasaskan konsep Ekonomi Donat dengan sokongan teknologi ProSocial AI.\