Ipoh, 17 September 2025 (Rabu) – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui Unit Sekretariat Ipoh Bandar Ekonomi Donat meneruskan kesinambungan program pendidikan dalaman dengan penganjuran Taklimat Siri Keempat bertempat di Bilik Gerakan MBI.
Program ini menjadi medium penting dalam memperkukuh kefahaman warga kerja MBI terhadap pelaksanaan dasar pembangunan regeneratif bandar.
Sesi dimulakan dengan pembentangan oleh TPr Dr. Zulqarnain bin Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Sekretariat, yang menghuraikan perkembangan semasa pelaksanaan Pelan Tindakan Ipoh Bandar Ekonomi Donat. Beliau menekankan peri pentingnya penglibatan aktif semua jabatan dalam memastikan model ini benar-benar diterjemahkan ke dalam operasi harian pentadbiran bandaraya.
Taklimat diteruskan oleh Encik Muhammad Norman Fikri bin Muhamad Anhar, Penolong Pegawai Penyelidik Unit Sekretariat, yang menjelaskan secara terperinci bagaimana konsep Had Ekologi (Ecological Ceiling) dan Asas Sosial (Social Foundation) dapat diterapkan dalam konteks tempatan.
Sebagai pendekatan pembelajaran interaktif, beliau memperkenalkan Concubine Lane, Tasik Cermin, dan UTC Ipoh sebagai lokasi demonstrator untuk mengaitkan indikator ekonomi donat dengan isu sebenar di lapangan:
• Concubine Lane diketengahkan sebagai contoh dimensi sosial dan ekonomi melalui pelancongan warisan serta cabaran keseimbangan antara kelestarian budaya dengan tekanan komersialisasi.
• Tasik Cermin digunakan untuk menunjukkan kepentingan dimensi ekologi, khususnya bagaimana sebuah kawasan lombong lama boleh melalui proses transformasi menjadi destinasi ekopelancongan (ecotourism) yang mengekalkan biodiversiti sambil memberi nilai tambah kepada ekonomi tempatan.
• UTC Perak pula ditampilkan sebagai demonstrator projek bagi dimensi asas sosial, dengan fokus kepada penyediaan perkhidmatan awam, akses saksama dan kemudahan bandar kepada komuniti pelbagai lapisan.
• Projek Regenerasi Bangunan Terbiar turut diketengahkan sebagai contoh nyata aplikasi prinsip regeneratif, iaitu menukar bangunan lama yang tidak digunakan kepada sebuah bangunan bertaraf Green Building Index (GBI) dengan mengaplikasikan sistem SPAH (Sistem Pengumpulan Air Hujan) serta pemasangan panel solar sebagai sumber tenaga boleh baharu.
Melalui kuiz interaktif berasaskan ketiga-tiga lokasi ini, peserta diminta mengaitkan cabaran dan peluang di setiap demonstrator dengan dimensi ekonomi donat. Peserta yang berjaya menjawab tepat diberikan hadiah berupa kopi tempatan dan uncang teh Ipoh sebagai penghargaan.
Sesi ditutup dengan soal jawab bertemakan “Apakah cara jabatan anda dapat menambah baik model ekonomi donat terhadap MBI?”. Antara cadangan bernas yang dikemukakan termasuklah:
• meluaskan amalan hijau di setiap jabatan menerusi komunikasi antara sistem digital bagi mengurangkan pengharapan terhadap penggunaan kertas,
• menggalakkan kaedah work from home (WFH) secara berjadual untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada perjalanan harian.
Secara keseluruhan, Taklimat Siri Keempat ini bukan sahaja berjaya memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada warga MBI mengenai penerapan ekonomi donat dalam konteks setempat, malah turut memperlihatkan peningkatan sokongan dalaman terhadap perubahan ke arah model ini.
Komitmen yang dizahirkan melalui perbincangan, idea dan cadangan hijau yang dikemukakan mencerminkan bahawa warga MBI semakin bersedia memainkan peranan aktif dalam menjayakan agenda regeneratif bandaraya.