Aktiviti & Berita

YB SANDREA NG LAWAT PONDOK PENGAWAL DI TAMAN PUTRA PERTAMA & MERU VALLEY

Ipoh, 6 Oktober 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) komited memastikan semua pembinaan pondok pengawal di kawasan perumahan dilaksanakan secara teratur, selamat dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MBI untuk memperkukuh keselamatan komuniti serta memastikan pembangunan sosial dan fizikal di Bandaraya Ipoh terus berdaya huni dan mampan.

Pembinaan pondok pengawal di bawah Skim Komuniti Berpengawal (bukan strata) digalakkan, namun tertakluk kepada kelulusan rasmi serta pematuhan Garis Panduan Pondok Pengawal MBI bagi mengelakkan risiko keselamatan dan gangguan terhadap pengguna jalan awam.

Sehubungan itu, YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, telah mengadakan lawatan tapak ke pondok pengawal di Taman Putra Pertama dan Meru Valley. Lawatan ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Haji Mazlan bin Abd Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis, Ahli-Ahli Majlis, Puan Jaslina binti Saidin, Timbalan Pengarah Perancang Bandar MBI, serta wakil jabatan dalaman MBI.

Garis panduan pembinaan pondok pengawal ini diwujudkan bagi menjelaskan dasar serta prosedur pembinaan pondok pengawal yang digunapakai oleh MBI, menyampaikan maklumat rasmi kepada masyarakat dan media berkaitan keperluan kelulusan dan tatacara permohonan serta memastikan infrastruktur keselamatan komuniti dilaksanakan secara teratur, selamat dan mematuhi undang-undang.

Untuk makluman. Garis Panduan Pembinaan Pondok Pengawal MBI adalah seperti berikut:

1. Lokasi & Tapak

a) Hanya dibenarkan di pintu masuk utama kawasan Perumahan,

b) Tidak menghalang laluan trafik kenderaan dan pejalan kaki,

c) Jarak minimum 3 meter dari tepi jalan utama atau simpang,

d) Tidak boleh dibina di atas rezab jalan awam tanpa kebenaran bertulis MBI.

2. Reka Bentuk & Saiz

a) Saiz maksimum: 3m (panjang) × 3m (lebar) × 2.5m (tinggi),

b) Struktur separa kekal menggunakan bahan ringan (fiber simen, kaca, keluli ringan atau aluminium),

c) Warna dan reka bentuk seragam dengan identiti kawasan Perumahan,

d) Tidak boleh dijadikan ruang niaga, stor atau tempat rehat kekal.

3. Kemudahan Asas

a) Dibenarkan sambungan elektrik untuk pencahayaan dan kipas sahaja,

b) Sambungan elektrik mestilah sah daripada TNB,

c) Tidak dibenarkan pembinaan tandas, dapur atau struktur tambahan kekal.

4. Permohonan & Kelulusan

a) Permohonan perlu dikemukakan oleh Persatuan Penduduk (RA) berdaftar kepada Jabatan Perancang Bandar MBI,

b) Dokumen sokongan: pelan tapak, pelan bangunan cadangan, gambar tapak semasa dan surat sokongan PDRM (jika berkaitan),

c) Kelulusan hanya diberikan melalui Surat Kebenaran Bertulis MBI.

Sehingga kini, MBI telah menerima empat (4) permohonan rasmi bagi pelaksanaan Skim Komuniti Berpengawal dan pembinaan pondok pengawal di kawasan Taman Kaya, 31400 Ipoh, Taman Megah Pasir Puteh, 31650 Ipoh, Meru Valley Golf & Country Club dan Taman Putra Pertama, Ipoh.

Namun begitu, tiada permohonan yang diluluskan setakat ini kerana tidak menepati sepenuhnya keperluan garis panduan MBI. Antara faktor utama ialah pembinaan dicadang di atas rezab jalan awam, tidak mematuhi jarak keselamatan lalu lintas, kekurangan dokumen sokongan, serta tiada pengesahan rasmi pihak berkuasa seperti PDRM.

MBI turut menerima aduan awam berkaitan pembinaan pondok pengawal tanpa kelulusan di beberapa kawasan perumahan seperti Taman Kaya, Taman Pinggiran Pengkalan Bayu, Taman Pulai Mutiara, Taman Klebang Bayu, Lakeside Villa (Sunway City), Taman Klebang Perdana, dan lain-lain.

Antara isu aduan yang sering diterima termasuk penduduk bukan ahli persatuan atau tidak membayar yuran dihalang masuk oleh pengawal keselamatan, penduduk terpaksa membuka palang sendiri dalam cuaca hujan/panas, pelawat menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan perumahan, laluan alternatif ditutup menyebabkan akses ke rumah menjadi lebih jauh serta pemaju dihalang menjalankan kerja pembangunan tanah.

Tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh MBI sejak 2018, termasuk merobohkan atau membuka halangan di Anjung Tawas Impiana, Taman Klebang Perdana, Taman Kaya, Taman Pinggiran Pengkalan Bayu dan Taman Pulai Mutiara, mengikut peruntukan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Persatuan Penduduk (RA) pula bertanggungjawab untuk menyenggara pondok pengawal agar sentiasa dalam keadaan baik, memastikan tiada sekatan terhadap pengguna jalan awam, menamatkan penggunaan pondok jika diarahkan oleh Majlis serta menanggung sepenuhnya kos penyelenggaraan dan operasi.

Majlis Bandaraya Ipoh menyokong usaha komuniti dalam memperkukuh keselamatan kejiranan melalui pembinaan pondok pengawal dan pelaksanaan Skim Komuniti Berpengawal. Namun demikian, setiap inisiatif hendaklah mendapat kelulusan bertulis dan mematuhi semua garis panduan yang telah ditetapkan bagi menjaga kepentingan awam, keselamatan pengguna jalan dan imej bandar raya.

MBI menyeru semua Persatuan Penduduk agar merujuk kepada Jabatan Perancang Bandar sebelum melaksanakan sebarang pembinaan pondok pengawal bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang atau tindakan penguatkuasaan.

Majlis akan terus menjalankan pemantauan dan sesi libat urus bersama komuniti bagi memastikan pembangunan keselamatan kejiranan dilaksanakan secara teratur, sah dan mampan, demi kesejahteraan penduduk Bandaraya Ipoh.

557794692 1192332462919272 2320272810134182751 N
557924425 1192332559585929 8577930692842073048 N
558000865 1192332552919263 3889481215066316008 N
558161272 1192332472919271 2385638670592540010 N
558177102 1192332516252600 859410540931195787 N
558890140 1192332586252593 5662476982785862086 N
559090095 1192332522919266 1629756388755858257 N
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 13/08/2026.
  • Jumlah Pelawat 7017173