IPOH, 29 Oktober 2025 - Majlis Pelancaran Pusat Perubatan Sunway Ipoh telah berlangsung di bangunan pusat perubatan berkenaan petang ini.
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan mencemar duli berangkat serta menyempurnakan majlis pelancaran tersebut.
Turut berangkat, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral Dato' Seri Diraja Tan Sri (Dr) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak.
Hadir sama, Y.Bhg. Tan Sri Jeffery Cheah, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway dan YBhg. Datuk Lau Beng Loon, Presiden Kumpulan Perubatan Sunway.
Turut hadir memberikan sokongan, Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, yang menzahirkan komitmen pihak berkuasa tempatan terhadap pembangunan industri kesihatan di Bandar Raya Ipoh khususnya dan negeri Perak amnya.
Dengan pelancaran ini, Pusat Perubatan Sunway Ipoh dijangka menjadi mercu tanda baharu dalam landskap kesihatan negeri Perak, menawarkan kemudahan bertaraf antarabangsa serta kepakaran pelbagai disiplin perubatan demi manfaat masyarakat.